Pages

.:About Me:.

My photo
Melaka kusayang.., Kota bersejarah..., Malaysia
Hidup dan mati dengan keredhaan dan rahmat Allah s.w.t... Gembira dan sedih atas dugaan dan nikmat Allah s.w.t... Cinta yang dihembus terus ke hati....hati kecil yang memohon agar tiada ruang yang kosong untuk dipenuhi benci.... Sesungguhnya aku insan yang hanya mampu bersedia atas takdir yang ditentukan oleh-Nya...dengan selaut usaha....selangit doa dan se'planet, tawakal....

Wednesday, December 15, 2010

Konsep Cinta dalam Islam

Sesungguhnya orang yang ada dalam dirinya ketaqwaan kepada Allah, akan timbul juga dalam dirinya rindu dan cinta kepada Allah. Rindu dan cinta kepada Allah akan meningkatkan lagi iman kita. Orang yang rindu dan cinta kepada Allah akan dapat merasakan kemanisan dalam beriman kepadaNya. Ini telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya:

Ertinya : Tiga perkara apabila berada pada diri seseorang, nescaya dia akan merasakan kemanisan iman; iaitu hendaklah Allah dan Rasulnya lebih dicintai dari yang lainnya……”

Daripada hadis yang dibacakan tadi, kita dapat fahami bagaimana cinta kepada Allah itu adalah salah satu tanda imannya seseorang itu. Bahkan cinta pada Allah itu adalah sebahagian dari syarat iman. Ini diperkuatkan lagi oleh hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik :

Maksudnya : Kamu tidak beriman sehingga Allah dan RasulNya lebih dicintai dari yang lain.

Sifat cinta ini tidak dapat tercapai dengan kita duduk berdiam sahaja. Ia juga tidak dapat tercapai dengan kita tidak mengenali siapakah yang ingin kita cintai. Untuk itu, kita perlu mengenal Allah s.w.t Pencipta Alam semesta ini. Untuk kita mengenalinya, kita perlu mengenali segala sifat-sifatnya yang agung, yang suci dari segala kekurangan. Dan untuk melihat kebesaran Allah s.w.t, lihat segala yang diciptanya. Lihatlah alam sekeliling kita. Lihatlah berjuta-juta jenis makhluk yang hidup diatas muka bumi ini, dari sekecil-kecil kuman, sehingga sebesar-besar binatang. Tidakkah ini semua bukti dan dalil terhadap kebesaran Allah? Tidakkah ini sudah mencukupi untuk menanamkan dalam diri kita perasaan mengangungkan Allah dan seterusnya berputik perasaan cinta dalam diri kita terhadap Pencipta kita?

Apabila seseorang sudah ada dalam dirinya perasaan cinta kepada Allah, hatinya akan merasa cenderung kepada Allah. Dia akan merasakan adanya hubungan yang rapat dengan Allah. Dia akan merasa malu dan takut untuk melanggar perintah Allah. Dia akan merasa suka dan cinta melakukan amalan yang membawa keredhaan Allah. Apabila perasaan-perasaan ini wujud dalam diri seseorang hamba, maka dia sudah merasakan cinta kepada Allah. Dan dia akan merasakan kemanisan beriman kepada Allah.

Apabila seseorang sudah merasakan cinta kepada Allah, dia juga perlu merasakan cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w, makhluk yang paling dicintai Allah s.w.t sehinggakan beliau di gelar Habibullah iaitu kekasih Allah. Cinta kepada Rasulullah s.a.w merupakan bukti cinta kita kepada Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran, ayat 31:

Ertinya : Katakanlah: Jika kamu cintakan kepada Allah, maka ikutlah (ajaran) aku nescaya Allah akan menyintai kamu dan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun laga Maha Penyayang.

Manusia diciptakan dengan naluri untuk menyayangi dan mencintai makhluk yang lain. Ia adalah satu semula jadi. Satu sifat yang tidak boleh kita nafikan dalam diri kita. Samada seseorang itu cinta kepada dirinya sendiri, atau cinta kepada orang lain, atau cinta kepada makhluk lain, atau cinta kepada Allah, semua itu adalah bukti perasaan cinta yang ada dalam diri kita. Persoalaannya adalah bagaimana kita memastikan cinta kita tidak tergelincir dari landasan Islam, tidak membawa kemurkaan Allah.

Sebagai contoh, adalah satu perkara yang lumrah bagi lelaki menyintai wanita, dan begitu juga sebaliknya. Cinta sebegini yang memastikan zuriat manusia berkembang di dunia ini. Tetapi cinta sebegini juga menyebabkan banyak berlaku kemungkaran. Lihat sahaja sekeliling kita sekarang ini. Semakin ramai remaja dan anak muda yang melanggar norma-norma kesusilaan dan hukum Allah apabila mereka sedang bercinta. Kita dapat lihat bagaimana mereka berpegang tangan, malah ada yang sanggup berpeluk-pelukan dan bercumbu-cumbuan di khalayak ramai. Dimanakah sifat malu mereka? Adakah mereka begitu tenggelam dalam perasaan cinta sehingga segala perasaan malu diketepikan? Dan yang sedihnya, bukan sahaja yang muda, bahkan yang sudah berumur pun melalakukan sedemikan. Seolah-olah sudah tiada lagi perasaan malu dan kehormatan diri. Ketauilah saudara-saudara sekelian, bahawa salah satu tanda hampir kiamat adalah apabila dicabut perasaan malu dari kalangan wanita, sehingga mereka tiada perasaan segan silu untuk mendedahkan tubuh badan mereka di khalayak ramai, dan tiada segan silu untuk dengan mudah menyerahkan tubuh badan mereka kepada lelaki.

Inilah kesan kehidupan moden di Malaysia ini. Kita semakin terdedah dengan berbagai gejala yang tidak sihat. Di mana-mana sahaja kita lihat, kita dihujani dengan mesej bahawa tidak salah untuk berpasangan dan untuk mendedahkan aurat. Dari poster-poster iklan, kepada akhbar-akhbar sehingga televisyen. Sekarang timbul pula internet. Semakin mudah seseorang itu terdedah dengan pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kalau kita sebagai orang dewasa, kemungkinan juga terpengaruh sedikit sebanyak, bayangkan bagaimana anak-anak remaja kita yang masih kebingungan. Siapakah yang akan menerangkan kepada meraka bahawa cara-cara bercinta yang dipaparkan di media massa adalah bertentangan dengan Islam?

Adakah tugas sekolah semata-mata? Adakah tugas masjid semata-mata? Tidak. Tidak cukup dengan pendidikan di luar. Yang terlebih penting adalah pendidikan langsung dari ibu bapa. Mereka yang sepatutnya memainkan peranan yang lebih dalam mendidik anak-anak mereka agar tidak terpedaya dengan gejalan dan pemikiran yang tidak sihat. Kerana akhirnya, mereka lah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Bukan guru sekolah. Bukan imam di masjid.

Sekiranya setiap dari kita memainkan peranan menasihati anak-anak kita dari kecil lagi, kita akan dapat mengurangkan masalah kerosakan akhlak di kalangan remaja kita. Dan ketahuilah bahawa untuk menasihati anak-anak kita, ada teknik-tekniknya. Kalau tidak mengikut teknik-teknik tersebut, ia akan lebih menjadi seperti leteran yang membosankan anak-anak kita. Maka kita perlu belajar teknik-teknik mendidik dan menasihat anak-anak. Agar tugas kita sebagai ibu-bapa akan lebih efektif lagi. Agar kelak apabila anak-anak kita sudah dewasa dan kita menjadi tua, kita tidak akan merasa sesal.

1 comment:

  1. Semoga Kita terus dalam rahmatnya..
    Disamping mendambakan cinta insan..
    nmun cint aALLAH n RASULULLAH adalah yang utama..

    http://nukilansyahid.blogspot.com/

    ReplyDelete